Penderaan satu trend baru?

Diri ini teringatkan kisah yang pernah diceritakan padaku suatu ketika dulu...
Sekumpulan ayam bersama-sama dengan anak-anaknya sedang melintas jalan, tiba-tiba datang sebuah kereta yang tidak menyedari akan keberadaan ayam-ayam tersebut telah melanggar salah seekor dari anak ayam itu. apabila menyedari akan kehilangan seekor dari anak nya ibu ayam berlari semula ke jalan tersebut untuk melihat anak nya. Malangnya anak nya telah mati dilanggar dan anak ayam tersebut telah melekat dijalan raya. Atas rasa kasih yang tinggi terhadap anaknya, ibu ayam tersebut berusaha juga untuk menarik keluar anaknya dari terus melekat di jalan raya…. SUBAHANAALLAH

Akal yang diberikan oleh ALLAH seperti telah bertukar kepada haiwan. Apa tidaknya, haiwan sendiri mempunyai rasa belas kasihan terhadap anaknya sedangkan manusia membuang anaknya dengan begitu sahaja, dalam tandas, tong sampah, lombong, lubang tandas, sehingga menyebabakan si tubuh kecil yang tidak berdosa menjadi makanan binatang buas, remuknya tulang belulang mereka. Perbuatan ini adalah jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan.

Syafia Humairah Sahari, kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun, dipercayai mati akibat penderaan. Bedah siasat ke atas mayatnya, mendapati punca kematian Syafia Humairah ialah kerosakan teruk buah pinggangnya dan pendarahan pada kulit kepala dan otak. Selain itu, ada kesan lama, termasuk bekas dicucuh puntung rokok pada badannya. Laporan televisyen dan akhbar memetik beberapa saksi sebagai berkata, kanak-kanak malang itu ditampar, dipijak pada perut dan disepak beberapa kali oleh suspek di padang bola di Kampung Batu 30, Ulu Yam lama, sebelum dia dibawa ke hospital.
Kejadian sadis ini mengingatkan kita kepada satu lagi kes penderaan yang hampir sama menimpa seorang lagi budak perempuan, juga berusia tiga tahun, kira-kira lima bulan lalu. Pada Oktober lalu, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah, mati akibat didera teruk oleh teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan di sebuah kondominium di Cheras. Mayat Aaliyah Aiman ditemui terbaring di rumahnya dengan cedera teruk di kepala dan badan oleh ibunya HANYA MANUSIA BERHATI HAIWAN SANGGUP BERBUAT DEMIKIAN KEPADA MANUSIA LAIN!!!
Firman ALLAH dalam Surah An-Nisa' ayat 93:
"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja,maka balasannya ialah neraka jahanam,kekal dia didalamnya dan ALLAH murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

Sayangnya Rasulullah terhadap kanak-kanak

Nabi saw selalu bermain dengan anak-anak kecil. Apabila kanak-kanak itu bersama baginda baginda akan meminta kanak-kanak tersebut berdiri sebaris mengadap beliau. Selepas itu baginda akan duduk di satu tempat yang agak jauh sikit dari kanak-kanak tersebut dan menghulurkan tangannya kepada mereka. Kemudian baginda akan menyuruh kanak-kanak tersebut lari kepada dakapan beliau. Siapa yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak tersebut akan lari sekuat-kuatnya kepada dakapan beliau sehingga ada yang melanggar dada beliau, dan ada yang melanggar perut beliau. Selepas itu, beginda akan memeluk mereka semua dengan penuh kasih sayang.

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w keluar bertemu dengan kaum muslimin, sedang bersamanya ada Hasan dan Husain. Seorang di bahu kanan dan yang seorang lagi di bahu kiri. Baginda mencium Hasan, kemudian mencium Husain pula. Ketika Rasulullah s.a.w membawa Hasan dan Husain, tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepada baginda, Ya Rasulullah, apakah engkau sangat cinta kepada mereka berdua? Baginda terus menjawab, Sudah tentu. Sesiapa yang mengasihi kedua cucuku ini maka bererti telah mengasihi aku, dan sesiapa yang memarahinya bererti ia memarahi aku.

Marilah kita mengambil pelajaran dari sifat lemah lembut Rasulullah s.a.w, sifat tawadhuk beliau, dan sifat kasih sayang beliau kepada kanak-kanak. Dan marilah kita melaksanakannya dalam kehidupan kita. Semoga Allah merahmati kita dalam mencontohi sifat Rasulullah s.a.w.
Katakanlah! Jika kamu menyintai Allah maka ikutlah aku (iaitu Rasulullah) nescaya Allah akan menyintai kamu dan mengampunkan dosa kamu. Dan Allah maha Pengampun dan maha Pengasih. Katakanlah! Taatilah Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang kafir.”
(Surah Ali-Imran, 31-32)


NorWahyu Bt Mohd Marzuki
Excom Akademik & Intelektual

PESANAN UNTUKMU PARA DAIE DI MSU/PTPL

Saya berpesan kepada diri saya dan para sahabat penggerak dakwah kampus supaya sentiasa istiqamah dan thabat di sepanjang perjalanan yang benar. Bergerak atas nama dakwah di bumi yang mencabar ini memerlukan kita berbekal dengan bekal yang terbaik yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.. Ustaz Mustafa Masyhur juga ada berpesan tentang keperluan bekalan bagi setiap daie di sepanjang jalan dakwah dalam salah sebuah karyanya yang utama.

Buah Tangan Ustaz Mustafa Masyhur yang amat baik buat kita

Bagi yang bakal menamatkan pengajian, saya ingin mengingatkan, cabaran yang mendatang di luar sana adalah lebih mencabar. Medan perjuangan sebenar menanti di luar sana. Realiti masyarakat serta sistem yang tidak memihak kepada agama yang sejahtera tidak akan membiarkan kita berasa selesa di sepanjang perjalanan. Tidak sedikit yang tersungkur di tengah perjalanan. Moga kita tidak tergolong di kalangan mereka yang terbuang dari jalan dakwah.

Memiliki akidah yang sahih adalah perkara paling penting dalam diri seorang muslim. Apatah lagi yang bergelar daie. Apa yang kita pelajari secara formal dalam sistem pelajaran yang tidak meletakkan Islam pada tempat yang sepatutnya adalah tidak mencukupi dalam melahirkan pemikiran muslim yang sejahtera. Apatah lagi dengan pelbagai fahaman dan pengaruh pemikiran bertuhankan nafsu yang berada di sekeliling kita. Menghadiri majlis ilmu serta membaca merupakan dua perkara yang amat penting bagi kita. Para ulamak selaku pewaris nabi telah melakukan pelbagai usaha demi memastikan akidah umat Islam terus terpelihara setiap masa. Mereka mengerah tenaga dan fikiran mereka dalam memikirkan kaedah terbaik demi kesejahteraan dan keselamatan kita, umat akhir zaman.

Ciri-ciri khususi Islam, Tauhid uluhiyah, tauhid rububiyah, tauhid asma' wa sifat mungkin adalah antara perkara yang disusun oleh para ulamak yang tidak kita dapati istilah-istilah ini dalam pengajaran ketika hayat nabi S.A.W. tetapi ianya mengandungi intipati ajaran Islam yang amat penting. Ianya amat penting dalam memastikan setiap muslim itu berupaya memahami akidah Islam yang sebenar. Saya kira, rata-rata daripada kita telahpun mengetahui tentang ciri-ciri khususi Islam dan 3 pengertian tauhid di atas. Jika tidak, anda mesti berusaha memahaminya. Bahkan, jika kita merasakan kita telah memahaminya pun, itu masih tidak cukup sebenarnya untuk kesejahteraan pemikiran dan pandangan kita.

Jika kita telah belajar dan diberikan penerangan tentang hakikat Islam, maka sepatutnya wujud kesedaran dalam diri kita untuk lebih memahami hakikat agama ini. Bacalah bahan-bahan bacaan yang mampu mengasah pemikiran kita dan menambahkan pengetahuan terhadap agama ini. Ini sangat penting bagi membuka mata hati kita supaya lebih celik dalam memandang hakikat Islam yang kita yakin dengannya. Buku 'Asas-asas Islam' oleh Syeikh Abu Al-A'la Al-Maududi dan 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' oleh Ustaz Fathi Yakan mesti dibaca oleh setiap daripada kita.


Adalah tidak sepatutnya sekiranya seorang yang berada di atas jalan dakwah merasakan dirinya tidak mahu atau tidak 'sampai tahap' membaca buku ini. Apa yang terkandung di dalam buku ini merupakan perkara paling asas yang penting untuk kehidupan kita sebagai seorang muslim dan seorang daie. Ada yang beranggapan tidak perlu membaca buku di atas kerana telah berasa yakin dengan apa yang tersemat di dada. Maka saya ingin menegaskan, anggapan anda adalah salah sama sekali. Sekiranya ini pun tidak mahu dan tidak mampu dibaca, jangan berangan nak membaca karya-karya yang lebih besar dan berat.

Pembacaan buku-buku di atas juga insyaAllah akan mendorong kita untuk berada di atas suatu landasan fikrah yang lebih jelas. Kesatuan fikrah ataupun pemikiran adalah perkara yang amat penting dalam usaha untuk menghasilkan kesatuan gerak kerja Islam. Bukanlah saya taksub dengan buku-buku di atas, tetapi apa yang terkandung dalam buku-buku tersebut memang amat penting untuk kita, umat Islam masa kini. Anda akan lebih memahaminya setelah habis membaca buku-buku tersebut, InsyaAllah.


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَق َ(1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَق ٍ(2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ(3)الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ(5)
‘Iqra’ (bacalah) denqan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah. Iqra’ (bacalah), dan Tuhanmu lah yang Paling Pemurah, sang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia Mengajarkan kepada manusia apa sang tidak diketahuinya. (Q. Al ‘Alaq: 1-5)



EXCOM DAKWAH & TARBIYYAH
RAFIUDDIN BIN RAMLI