Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts
Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts

PMIMSU bantah konsert Adam Lambert

Sungguh mengecewakan! Itulah pepatah yang sesuai diucapkan bila wartawan PMIMSU@online mendapat tahu bahawa konsert Adam Lambert akan dianjurkan pada 14 October ini di Stadium Putra. Mungkin ramai yang tidak tahu siapakah penyanyi yang berasal dari Amerika Syarikat ini. Dia merupakan penyanyi yang gemar melakukan perkara-perkara lucah ketika mengadakan konsert nyayian dan menurut sumber yang boleh dipercayai, dia juga merupakan seorang gay.



Gambar ini mungkin tidak sesuai dilihat

Mengulas perkara ini, wartawan PMIMSU@online telah bertemu dengan saudara Presiden, Halim untuk mendengar pendapat beliau.

" Saya (masih lagi) hairan, kenapa konsert yang melibatkan artis Barat seperti contoh Adam Lambert selalunya mudah untuk diterima masuk tanpa sekatan dari mana-mana pihak. Bahkan artis yang dibawa masuk kali ini juga merupakan artis yang teruk dari segi perangainya, kerana dia boleh mempengaruhi anak-anak muda terutama Muslim untuk mengikutinya (gejala gay)."

Tambah beliau lagi, "kerajaan sepatutnya 'alert' dengan perkara sebegini. Dengan status kononnya negara Islam, tindakan membenarkan konsert liar ini akan mencemarkan Malaysia pada kaca mata dunia Islam. Lupakah apa yang telah terjadi pada kaum Nabi Luth yang mengamalkan gejala seks songsang? Kita tidak mahu bala menimpa kepada semua rakyat Malaysia."

"Sepatutnya kerajaan menyokong artis yang membawa konsep ketuhanan seperti Maher Zain yang sukar mendapat tajaan untuk datang ke negara kita, berbanding membawa artis liar untuk berhibur" kata beliau dengan nada sinis.

PMIMSU@online juga mendapat maklumat bahawa Adam Lambert telah menyertai America Idol tetapi telah kalah kerana rata-rata penduduk Amerika sendiri tidak dapat menerima kehidupan Gaynya. Jikalau penduduk Amerika sendiri menolak Adam Lambert, apakah kita yang bangga digelar negara Islam sanggup menerima kunjungan pembawa bala ini?

Kami berharap kerajaan menimbang semula pemberian lesen kelulusan konsert ini, jikalau tidak, kami akan terus mengadakan bangkangan agar negara kita bebas dari gejala hedonisme yang tidak bermanfaat khususnya kepada umat Islam negara ini.



Pendirian PMIMSU tentang isu iklan Hari Raya TV3

Assalamualaikum wbt.

Kami PMIMSU ingin menyatakan pendirian kami tentang iklan Hari Raya yang dikeluarkan baru-baru ini oleh stesen swasta TV3. Bagi kami, iklan tersebut dengan jelas dan terang telah memesongkan akidah umat Islam yang sedia maklum telah lemah desawarsa ini.

Pengaplikasian konsep 1 Malaysia (percampuran pengamalan keagamaan) adalah sama sekali tidak dibenarkan seperti mana firman Allah swt di dalam surah Al-Kaafiruun ayat 6 " untuk kamu agama kamu dan bagiku agamaku". Kami agak kesal dengan pengeluaran iklan tersebut yang ternyata diluluskan tanpa mengambil kita sensitiviti penganut agama Islam di negara kita ini.

Walaupun pemohonan maaf telah dibuat, saya mendesak beberapa tuntutan kepada pihak pengurusan stesen tv3 iaitu:

1) Setiap pengeluaran iklan mestilah mendapat pandangan tokoh agama supaya perkara yang sama tidak lagi berulang

2) Menghapuskan iklan yang berunsur kelucahan dan pengeksploitasian terhadap wanita

3) Selain itu, pihak stesen TV3 harus menghentikan program yang berbentuk hedonism yang tidak memberi faaedah kepada masyarakat seperti program Mentor, My Star LG dan konsert hiburan.

Kami berharap agar pihak stesen TV3 mengambil pengajaran dengan apa yang telah berlaku dan tidak mengulangi lagi perkara-perkara yang boleh menjatuhkan martabat Islam itu sendiri.

Presiden PMIMSU sesi10/11
Mohamad Halim Bin Mohamad Shariff






Penderaan satu trend baru?

Diri ini teringatkan kisah yang pernah diceritakan padaku suatu ketika dulu...
Sekumpulan ayam bersama-sama dengan anak-anaknya sedang melintas jalan, tiba-tiba datang sebuah kereta yang tidak menyedari akan keberadaan ayam-ayam tersebut telah melanggar salah seekor dari anak ayam itu. apabila menyedari akan kehilangan seekor dari anak nya ibu ayam berlari semula ke jalan tersebut untuk melihat anak nya. Malangnya anak nya telah mati dilanggar dan anak ayam tersebut telah melekat dijalan raya. Atas rasa kasih yang tinggi terhadap anaknya, ibu ayam tersebut berusaha juga untuk menarik keluar anaknya dari terus melekat di jalan raya…. SUBAHANAALLAH

Akal yang diberikan oleh ALLAH seperti telah bertukar kepada haiwan. Apa tidaknya, haiwan sendiri mempunyai rasa belas kasihan terhadap anaknya sedangkan manusia membuang anaknya dengan begitu sahaja, dalam tandas, tong sampah, lombong, lubang tandas, sehingga menyebabakan si tubuh kecil yang tidak berdosa menjadi makanan binatang buas, remuknya tulang belulang mereka. Perbuatan ini adalah jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan.

Syafia Humairah Sahari, kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun, dipercayai mati akibat penderaan. Bedah siasat ke atas mayatnya, mendapati punca kematian Syafia Humairah ialah kerosakan teruk buah pinggangnya dan pendarahan pada kulit kepala dan otak. Selain itu, ada kesan lama, termasuk bekas dicucuh puntung rokok pada badannya. Laporan televisyen dan akhbar memetik beberapa saksi sebagai berkata, kanak-kanak malang itu ditampar, dipijak pada perut dan disepak beberapa kali oleh suspek di padang bola di Kampung Batu 30, Ulu Yam lama, sebelum dia dibawa ke hospital.
Kejadian sadis ini mengingatkan kita kepada satu lagi kes penderaan yang hampir sama menimpa seorang lagi budak perempuan, juga berusia tiga tahun, kira-kira lima bulan lalu. Pada Oktober lalu, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah, mati akibat didera teruk oleh teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan di sebuah kondominium di Cheras. Mayat Aaliyah Aiman ditemui terbaring di rumahnya dengan cedera teruk di kepala dan badan oleh ibunya HANYA MANUSIA BERHATI HAIWAN SANGGUP BERBUAT DEMIKIAN KEPADA MANUSIA LAIN!!!
Firman ALLAH dalam Surah An-Nisa' ayat 93:
"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja,maka balasannya ialah neraka jahanam,kekal dia didalamnya dan ALLAH murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

Sayangnya Rasulullah terhadap kanak-kanak

Nabi saw selalu bermain dengan anak-anak kecil. Apabila kanak-kanak itu bersama baginda baginda akan meminta kanak-kanak tersebut berdiri sebaris mengadap beliau. Selepas itu baginda akan duduk di satu tempat yang agak jauh sikit dari kanak-kanak tersebut dan menghulurkan tangannya kepada mereka. Kemudian baginda akan menyuruh kanak-kanak tersebut lari kepada dakapan beliau. Siapa yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak tersebut akan lari sekuat-kuatnya kepada dakapan beliau sehingga ada yang melanggar dada beliau, dan ada yang melanggar perut beliau. Selepas itu, beginda akan memeluk mereka semua dengan penuh kasih sayang.

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w keluar bertemu dengan kaum muslimin, sedang bersamanya ada Hasan dan Husain. Seorang di bahu kanan dan yang seorang lagi di bahu kiri. Baginda mencium Hasan, kemudian mencium Husain pula. Ketika Rasulullah s.a.w membawa Hasan dan Husain, tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepada baginda, Ya Rasulullah, apakah engkau sangat cinta kepada mereka berdua? Baginda terus menjawab, Sudah tentu. Sesiapa yang mengasihi kedua cucuku ini maka bererti telah mengasihi aku, dan sesiapa yang memarahinya bererti ia memarahi aku.

Marilah kita mengambil pelajaran dari sifat lemah lembut Rasulullah s.a.w, sifat tawadhuk beliau, dan sifat kasih sayang beliau kepada kanak-kanak. Dan marilah kita melaksanakannya dalam kehidupan kita. Semoga Allah merahmati kita dalam mencontohi sifat Rasulullah s.a.w.
Katakanlah! Jika kamu menyintai Allah maka ikutlah aku (iaitu Rasulullah) nescaya Allah akan menyintai kamu dan mengampunkan dosa kamu. Dan Allah maha Pengampun dan maha Pengasih. Katakanlah! Taatilah Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang kafir.”
(Surah Ali-Imran, 31-32)


NorWahyu Bt Mohd Marzuki
Excom Akademik & Intelektual

Apa persamaan antara sambutan Tahun Baru 2010 dan juga Valentine's Day?

Walaupun hari Valentine's day sudah lama berlalu, tetapi belum terlambat untuk saya mengupas sedikit-sebanyak tentang hari yang digelar dengan hari kasih-sayang ini.

Saya cukup yakin ramai sahabat-sahabat yang lain telah menulis isu Valentine's day ini dengan lebih terperinci, dengan sejarahnya, dengan sambutannya, dengan kesannya dan pelbagai lagi. Saya pula akan mengambil satu juzuk kecil tentang isu valentine's day ini yang mana ada kaitan dengan sambutan tahun baru.

Apa persamaannya? Persamaanya adalah kedua-dua hari ini adalah hari yang paling malang bagi umat Islam terutamanya kita yang bergelar remaja. Penzinaan berlaku dengan meluas tanpa ada sekatan. Kalaulah ditakdirkan bala turun, pada waktu inilah saya rasa paling sesuai lantaran manusia sedang asyik berseronok dengan dunia. Waktu paling teruk dan paling menjijikkan kerana seluruh dunia sedang bermaksiat kepada Allah SWT.

Selepas berlaku penzinaan, inilah hasilnya. Lahirlah anak-anak luar nikah dan statistik ini akan meningkat sekitar bulan September dan keatas kerana apa? Kerana sudah cukup 9 bulan janin dikandung, maka untuk menghilangkan rasa malu, maka anak-anak ini akan dibuang di merata tempat.







Takut pula bilamana saya mengenangkan bayi-bayi ini akan bangkit dari kubur untuk mencari siapakah ibubapanya.
Adakah anda sebahagian dari statistik durjana ini?


admin.

Isu Penggunaan Kalimah Allah

Mengulas mengenai isu penggunaan kalimah Allah seperti yang digunakan oleh Herald Catholic dalam terbitan bahasa Melayunya, mungkin ada beberapa fakta menarik yang boleh dikongsi untuk renungan kita bersama.

Memang telah termaktub di antara larangan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia menerusi keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 bagi mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah. Malah ada sesetengah negeri yang menambahkan lagi beberapa perkataan yang dianggap boleh mendatangkan kekeliruan dan bahaya kepada umat Islam apabila digunakan oleh bukan Islam. Namun yang peliknya kenapa masih lagi ada yang cuba menuntut kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka?

Mungkin kita boleh menjangkakan bahawa alasannya ialah kalimah Allah tersebut adalah kalimah terjemahan dari Bahasa Inggeris yang menggunakan kalimah God dalam Bible terbitan Bahasa Inggeris yang telah sekian lama digunakan.
Sama ada kita sedar ataupun tidak, tuntutan ini sebenarnya amat berbahaya kepada umat Islam sekiranya dibenarkan, kerana ianya lebih banyak menimbulkan kekeliruan di dalam masyarakat. Cubalah kita bayangkan kekeliruan yang akan timbul di dalam masyarakat terutamanya kepada golongan muda dan juga kepada kanak-kanak Muslim apabila terbaca iklan-iklan atau papan-papan tanda yang berbunyi "...Aku adalah anak Allah" atau "...damai sejahtera dari Allah, Bapa kita dan dari Tuhan Jesus Kristus" atau "...anak Allah yang hidup" yang semuanya merupakan terjemahan terus dari Bible terbitan Bahasa Inggeris. Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat atau ungkapan-ungkapan yang diterjemahkan ini boleh mengundang kekeliruan yang akhirnya boleh membatilkan fahaman agama.

Walau bagaimanapun, bagi menyingkap kekeliruan yang telah berlaku ini, elok rasanya kita melihat kepada asal-usul bahasa kitab-kitab itu sendiri. Bagi orang Islam dan juga bukan Islam, mudah untuk difahami dan diberitahu bahawa bahasa asal al Quran adalah Bahasa Arab. Dan apakah pula bahasa yang digunakan untuk kitab Injil (Bible) dan kitab Taurat? Bagi mereka yang mengkaji sejarah, secara jujur mereka akan katakan bahasa asal untuk kitab Taurat ialah Bahasa Hebrew, dan bahasa yang digunakan untuk menulis Kitab Injil (Bible) ialah Bahasa Greek.

Sekiranya fakta penggunaan bahasa ini boleh diterima sebagai asas perbincangan, maka ulasan seterusnya selepas ini akan menjadi lebih mudah. Malah bagi orang Islam, tidak perlu untuk kita menjadi pakar tentang kitab Taurat atau Injil (Bible) untuk mengupas isu gawat yang sedang berlaku ini.

Persoalannya sekarang ialah apakah perkataan yang digunakan untuk Tuhan dalam bahasa Hebrew dalam kitab Taurat dan makna perkataan Tuhan dalam bahasa Greek untuk kitab Injil (Bible).? Sekiranya Herald Catholic boleh memahami persoalan asal bahasa ini mungkin kekeliruan penggunaan perkataan Allah tidak timbul.

Ini adalah kerana perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah Elohim, Eloh, El dan juga Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, di dalam The Gospel of St. Matthew bab 27: 46 yang menyebut :

Kira-kira jam tiga berserulah Jesus dengan suara nyaring: "Eli, Eli, lama sabaktani?" (Ertinya : Tuhan-Ku, Tuhan-Ku, mengapa Engkau meninggalkan aku?")
Sementara di dalam bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud Tuhan ialah Theos. Sepertimana yang tertulis dalam buku-buku sejarah atau buku-buku tamadun besar dunia, orang-orang Rom menyembah Tuhan yang dikenali sebagai Hotheos. Dan sekiranya terdapat di kalangan mereka yang menyembah Tuhan yang dianggap palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai Tintheos.

Jika diteliti kita akan dapati bahawa untuk kedua-dua bahasa sama ada Hebrew ataupun Greek yang dijadikan penulisan bagi kedua-dua kitab suci ini, tidak terdapat satu pun kalimah Allah digunakan.

Namun begitu ada juga di kalangan mereka yang memberi alasan bahawa penggunaan kalimah Allah ini ialah berdasarkan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible versi Bahasa Arab.

Bible versi Arab ini tidak dikenali sebagai Holy Bible tetapi lebih dikenali sebagai Kitab al-Muqaddas. Dan di dalam terjemahan Bible Melayu pula mereka menamakannya sebagai Kitab Berita Baik.

Lanjutan daripada itu juga perlu kita fahami bahawa kalimah Allah yang wujud di dalam Bible bahasa Arab tersebut adalah kerana sesetengah Kristian Arab seperti yang terdapat di Mesir, Syria, dan beberapa negara lain yang muncul sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. menerima dan meyakini faham Keesaan Tuhan. Di mana faham ini jauh berbeza dengan faham Trinity (tiga dalam satu) sepertimana doktrin kebanyakan Kristian pada hari ini.

Maka dengan itu hujah yang dijadikan sandaran untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah ini adalah tidak dapat diterima kerana golongan Kristian Trinity sendiri tidak menerima bahkan mengkafirkan golongan Kristian Unity.
Selain daripada hujah tersebut terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa kekeliruan tidak akan timbul jika penggunaan kalimah ini dibenarkan kerana kalimah Allah yang hendak digunakan tersebut adalah merujuk kepada terjemahan dari kalimah God dalam Bible bahasa Inggeris sedangkan kalimah Tuhan pula adalah terjemahan dari kalimah Lord.

Pandangan ini juga sebenarnya mengelirukan malah bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam Bible itu sendiri. Apakah bezanya antara Allah dan Tuhan dalam agama Kristian?

Sekiranya kalimah Tuhan merujuk kepada Jesus sedangkan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan Bapa di dalam Syurga, maka perlulah difahami dengan jelas di sini bahawa kalimah Tuhan dan Allah adalah dua perkataan yang merujuk hanya kepada Allah sahaja. Bagi membuktikan hal ini kita boleh merujuk kepada The Gospel Of St Mark 12:29 yang menyebut:

Jawab Jesus: Hukum yang terutama ialah : Dengarlah wahai Bani Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan Yang Esa".

Dalam ayat ini siapakah Tuhan Yang Esa yang dimaksudkan di dalam ayat di atas? Adakah ianya merujuk kepada Jesus? Pastinya tidak! Malah kalimah Tuhan yang dimaksudkan di atas adalah merujuk kepada Allah semata-mata. Dan hal ini sekali lagi bertentangan dengan apa yang telah dinyatakan bahawa kalimah Lord (Tuhan) di dalam Bible adalah merujuk kepada Jesus.

Sekiranya penghujahan ingin diteruskan lagi dengan menyatakan bahawa dalil yang paling jelas yang menunjukkan kalimah Tuhan adalah merujuk kepada Jesus dan kalimah Allah pula merujuk kepada Tuhan Bapa seperti yang sering dirujuk di dalam The Gospel Of St. Matius 16:22 yang menyebut:

Tetapi Petrus menarik Jesus ke samping dan menegur Dia, katanya: "Tuhan (Jesus), Semoga Allah (Tuhan Bapa) menjauhkan hal itu".
Sekiranya ini dijadikan hujah dan alasan, maka mereka yang berkenaan perlu menyelesaikan dahulu percanggahan yang terdapat di antara kedua ayat yang telah dinyatakan tadi. Sama ada Tuhan itu merujuk kepada Jesus sahaja ataupun juga merujuk kepada Allah.Malah kata-kata Jesus sendiri menjelaskan keEsaan Allah sepertimana yang terdapat dalam The Gospel of St. John 20:17 yang menyebut:
Kata Jesus kepadanya: Janganlah engkau memegang aku, sebab aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudaraKu dan katakanlah kepada mereka bahawa sekarang Aku akan pergi kepada BapaKu dan Bapamu, AllahKu dan Allahmu."
Dalam kata lain Jesus bukanlah Allah ataupun Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana Jesus sendiri menyatakan bahawa Tuhan yang sebenar ialah Allah.

Maka jelaslah di sini bahawa kewajaran pihak kerajaan Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah untuk digunakan oleh bukan Islam patut disokong oleh segenap masyarakat termasuk bukan Islam sendiri. Ianya adalah bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat apabila kalimah yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu akan mengundang padah yang akhirnya membawa kerugian kepada semua pihak. Adalah suatu yang amat malang apabila kesejahteraan hidup beragama di negara ini yang telah sekian lama bertahan atas dasar tolak ansur dan saling memahami, tiba-tiba digoncang oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin mencetus suasana ketegangan dan huru-hara.