Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

ISTIMEWANYA WANITA ISLAM.

“Susah betul la Islam ni, nak pakai itu tak boleh.. nak pakai ini pun tak boleh.. langsung tak up to date..”.


“Ish, apalah kau ni? Nak pakai macam ni ke? Kau biar betul, takkan la nak pergi majlis grand macam ni pakai tudung labuh jugak kot?”


Rungutan dan fahaman seperti ini seringkali kita dengari dari mulut wanita-wanita Muslimah pada zaman ini terutamanya dalam kalangan remaja. Hal seperti ini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita sekarang memandangkan dunia fesyen kini telah berkembang pesat dan menyajikan aneka jenis pakaian. Namun begitu, apakah rungutan dan fahaman mereka ini harus kita iakan sahaja? Apakah kita akan terus membiarkan mereka dengan fahaman seperti ini walaupun kita mengetahui hakikat dan kenyataan yang sebenarnya? Ayuh kita teruskan pembacaan ini..


Ada segelintir wanita mendakwa bahawa menjadi wanita Islam itu suatu perkara yang sukar. Mari kita sama-sama lihat beberapa peraturan mengenai wanita Islam:

  1. Wanita auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki.
  2. Wanita perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.
  3. Wanita saksinya kurang berbanding lelaki.
  4. Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki.
  5. Wanita perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.
  6. Wanita wajib taat kepada suaminya tetapi suami tidak perlu taat pada isterinya.
  7. Talak terletak di tangan suami dan bukan pada isteri.
  8. Wanita kurang dlm beribadat kerana datang haid dan nifas yang tidak ada pada lelaki.

Disebabkan semua peraturan ini, ramai yang kononnya memperjuangkan hak dan memerdekakan wanita Islam. Namun, pernahkah kita melihat disebalik kesemua peraturan ini ada maksudnya yang tersirat (kenyataannya)?

Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yg teraman dan terbaik. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar terselerak bukan?

Itulah bandingannya dengan seorang wanita. Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita?

Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk isteri dan anak-anak.

Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala makhluk, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di muka bumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid.

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita ini: Isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya.

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini: Suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana mana pintu Syurga yg disukainya cukup dgn 4 syarat saja : Sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat suaminya dan menjaga kehormatannya.

Seoanrg lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Masya ALLAH ... demikianlah sayangnya ALLAH pada wanita....

Wallahu’alam...

Exco HELWANIS PMIMSU

Sombongkah kita?

Realiti minda mahasiswa hari ini, rutinnya, pagi ke kelas, belajar, belajar dan terus belajar. Setiap hari mereka akan diberikan assignment, groupwork, ataupun lab report untuk disiapkan. Selang beberapa minggu pengajian, mereka akan diuji dengan quiz, presentation, pre-test, dan lain-lain lagi, semata-mata untuk menguji sejauh mana keupayaan mereka dalam menuntut ilmu.


Dari sudut lain, ada sesetengah dari mereka, hari-harinya, berlalu begitu saja. Selang beberapa bulan, duit ptptn, mara masuk. Kalau duit bulan tak masuk lagi, ditelefonnya ibu dan ayah di kampung supaya memasukkan duit ke dalam akaun masing-masing. Berbagai-bagai alasan diberikan. Sehingga kekadang terpaksa berbohong kepada ibu ayah untuk mendapatkan belanja duit yang lebih. Ah, senangnya hidup. Bahagianya diri . . .

Namun begitu, dalam mengharungi semua ini, sedarkah kita kawan-kawan sekalian . . ? Pernahkah kita bertanya kepada diri kita bagaimana susahnya ibu ayah bekerja untuk mendapatkan sedikit wang untuk anak-anak mereka yang menuntut di perantauan..? Pernahkah kita bertanya kepada diri kita sebanyak mana keringat yang telah ibu ayah kita korbankan semata-mata untuk melihat anak-anak mereka berjaya..? Pernahkah kita bertanya sudah berapa banyak perasaan ibu ayah terguris semata-mata untuk melihat anak-anak mereka gembira . . ? Kawanku sejauh mana kita berusaha untuk mereka . . .

Kawanku, itu pengorbanan ibu dan ayah buat kita . . . Bagaimana pula dengan pemberian Allah SWT ke atas kita . . ? Nikmat-nikmatNYA . Kejayaan kita dalam exam umpamanya, nikmat pada merasai kelazatan makanan contohnya, bahagia dalam mengecapi keharmonian kasih sayang dalam keluarga, akrabnya ikatan persahabatan dengan sahabat-sahabat yang lain... Di mana kita kawanku...?

Terlintaskah di benak pemikiran kita bahawa Allah terlalu sayang kepada hamba-hambaNYA...? Namun... Di mana kita ketika Allah menyeru kita kawan-kawanku...? Ketika azan berkumandang, di mana kita...? Berapa kali kita solat berjemaah dalam seharian...? Berapa kali kita menghulurkan bantuan, menghulurkan tangan untuk membantu mereka-mereka yang benar-benar memerlukan...? Sejauh manakah usaha kita apabila Allah menyeru kita untuk menegakkan hak-hakNYA di muka bumi..? Di mana kita ketika kawanku...?

Di mana kita ketika Allah berfirman yang mafhumnya,

" Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan bagi faedah manusia, agar kamu menyeru ke arah pengislahan (kebaikan) dan menegah ke atas segala kemungkaran (kebatilan) . . . "

Di mana kita...?


Kejamkah kita untuk berpaling dari hidayah Allah SWT sedangkan Allah tidak pernah lupa untuk menganugerahkan kita dengan nikmatNYA yang pelbagai sehari-harian...? Hebat sangatkah kita untuk menyombongkan diri dengan Allah dan ibu ayah kita...? Mungkinkah kita masih terlena dengan keasyikan dunia...?

Sedarlah kawanku, muhasabahlah jalan-jalan hidup yang telah kau lalui..


Petikan blog exco Dakwah
Saudara Ahmad Fawwaz 'Afifi Jamallodin


Ruh Manusia

Ruh manusia itu ibarat piring yang dipinjam. Ketika di alam roh, semua roh mengakui bahawa ALLAH SWT adalah Rabb mereka. Selepas kita meminjam piring, terdapat tiga keadaan terhadap piring tersebut ketika dipulangkan kepada empunyanya.

Pertama, jika piring itu dicuci terlebih dahulu sebelum dikembalikan, dan kemudian bersih berkilat seperti rupa asal. Maka, piring tersebut akan terus diletakkan ke dalam rak oleh tuannya.

Kedua, jika piring itu dikembalikan dalam keadaan masih kotor dan belum dicuci, maka tuan piring tersebut akan membasuh piring tersebut sehingga benar-benar bersih dan kemudiannya diletakkan kembali ke dalam rak.

Manakala keadaan ketiga, apabila piring dikembalikan dalam keadaan rosak (pecah) dan kotor, maka pemilik akan menjadi marah dan langsung membuang piring tersebut.



MAKSUD TAMSILAN

Piring itu adalah roh kita sedangkan pemilik itu adalah ALLAH SWT. Jika roh menghadap ALLAH SWT dalam keadaan bersih dari syirik, maksiat dan dosa seperti mula-mula dilahirkan dahulu, maka roh tersebut akan terus diletakkan ke dalam syurga. Tetapi jika roh datang dengan kotoran dosa, maka ALLAH akan memcucinya terlebih dahulu ke dalam neraka sebelum masuk ke syurga. Dan sekiranya roh yang datang dengan kecacatan kerana syirik, munafik, dan murtad, maka roh tersebut akan dicampakkan ke dalam api neraka selama-lamanya.

Mari kita renung beberapa firman ALLAH SWT perihal roh.

Firman Allah dalam Surah Al-A’raaf 7 ayat 172:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab, ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi.’...”.

Firman Allah di dalam Surah As-Syams 91 ayat 7-10, maksudnya:

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”

Firman Allah dalam Surah As-Syu’ara 26 ayat 88-89, maksudnya:

" Yakni pada hari ketika harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang -orang yang menghadap ALlah dengan hati yang tenang."


Exco Dakwah PMIMSU sesi 10/11
Ummu Aiman Bt Hasbullah

PESANAN UNTUKMU PARA DAIE DI MSU/PTPL

Saya berpesan kepada diri saya dan para sahabat penggerak dakwah kampus supaya sentiasa istiqamah dan thabat di sepanjang perjalanan yang benar. Bergerak atas nama dakwah di bumi yang mencabar ini memerlukan kita berbekal dengan bekal yang terbaik yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.. Ustaz Mustafa Masyhur juga ada berpesan tentang keperluan bekalan bagi setiap daie di sepanjang jalan dakwah dalam salah sebuah karyanya yang utama.

Buah Tangan Ustaz Mustafa Masyhur yang amat baik buat kita

Bagi yang bakal menamatkan pengajian, saya ingin mengingatkan, cabaran yang mendatang di luar sana adalah lebih mencabar. Medan perjuangan sebenar menanti di luar sana. Realiti masyarakat serta sistem yang tidak memihak kepada agama yang sejahtera tidak akan membiarkan kita berasa selesa di sepanjang perjalanan. Tidak sedikit yang tersungkur di tengah perjalanan. Moga kita tidak tergolong di kalangan mereka yang terbuang dari jalan dakwah.

Memiliki akidah yang sahih adalah perkara paling penting dalam diri seorang muslim. Apatah lagi yang bergelar daie. Apa yang kita pelajari secara formal dalam sistem pelajaran yang tidak meletakkan Islam pada tempat yang sepatutnya adalah tidak mencukupi dalam melahirkan pemikiran muslim yang sejahtera. Apatah lagi dengan pelbagai fahaman dan pengaruh pemikiran bertuhankan nafsu yang berada di sekeliling kita. Menghadiri majlis ilmu serta membaca merupakan dua perkara yang amat penting bagi kita. Para ulamak selaku pewaris nabi telah melakukan pelbagai usaha demi memastikan akidah umat Islam terus terpelihara setiap masa. Mereka mengerah tenaga dan fikiran mereka dalam memikirkan kaedah terbaik demi kesejahteraan dan keselamatan kita, umat akhir zaman.

Ciri-ciri khususi Islam, Tauhid uluhiyah, tauhid rububiyah, tauhid asma' wa sifat mungkin adalah antara perkara yang disusun oleh para ulamak yang tidak kita dapati istilah-istilah ini dalam pengajaran ketika hayat nabi S.A.W. tetapi ianya mengandungi intipati ajaran Islam yang amat penting. Ianya amat penting dalam memastikan setiap muslim itu berupaya memahami akidah Islam yang sebenar. Saya kira, rata-rata daripada kita telahpun mengetahui tentang ciri-ciri khususi Islam dan 3 pengertian tauhid di atas. Jika tidak, anda mesti berusaha memahaminya. Bahkan, jika kita merasakan kita telah memahaminya pun, itu masih tidak cukup sebenarnya untuk kesejahteraan pemikiran dan pandangan kita.

Jika kita telah belajar dan diberikan penerangan tentang hakikat Islam, maka sepatutnya wujud kesedaran dalam diri kita untuk lebih memahami hakikat agama ini. Bacalah bahan-bahan bacaan yang mampu mengasah pemikiran kita dan menambahkan pengetahuan terhadap agama ini. Ini sangat penting bagi membuka mata hati kita supaya lebih celik dalam memandang hakikat Islam yang kita yakin dengannya. Buku 'Asas-asas Islam' oleh Syeikh Abu Al-A'la Al-Maududi dan 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' oleh Ustaz Fathi Yakan mesti dibaca oleh setiap daripada kita.


Adalah tidak sepatutnya sekiranya seorang yang berada di atas jalan dakwah merasakan dirinya tidak mahu atau tidak 'sampai tahap' membaca buku ini. Apa yang terkandung di dalam buku ini merupakan perkara paling asas yang penting untuk kehidupan kita sebagai seorang muslim dan seorang daie. Ada yang beranggapan tidak perlu membaca buku di atas kerana telah berasa yakin dengan apa yang tersemat di dada. Maka saya ingin menegaskan, anggapan anda adalah salah sama sekali. Sekiranya ini pun tidak mahu dan tidak mampu dibaca, jangan berangan nak membaca karya-karya yang lebih besar dan berat.

Pembacaan buku-buku di atas juga insyaAllah akan mendorong kita untuk berada di atas suatu landasan fikrah yang lebih jelas. Kesatuan fikrah ataupun pemikiran adalah perkara yang amat penting dalam usaha untuk menghasilkan kesatuan gerak kerja Islam. Bukanlah saya taksub dengan buku-buku di atas, tetapi apa yang terkandung dalam buku-buku tersebut memang amat penting untuk kita, umat Islam masa kini. Anda akan lebih memahaminya setelah habis membaca buku-buku tersebut, InsyaAllah.


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَق َ(1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَق ٍ(2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ(3)الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ(5)
‘Iqra’ (bacalah) denqan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah. Iqra’ (bacalah), dan Tuhanmu lah yang Paling Pemurah, sang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia Mengajarkan kepada manusia apa sang tidak diketahuinya. (Q. Al ‘Alaq: 1-5)



EXCOM DAKWAH & TARBIYYAH
RAFIUDDIN BIN RAMLI


Detik-detik Rasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah,"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian,Al Qur'an dan sunnahku.

Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.Tanda- tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian panggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu."Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi.

Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.